Jumaat, 27 Februari 2015

HIZBUL BAHR (HIZIB BAHAR)

'HIZBUL BAHR (HIZIB BAHAR)'


Hizbul Bahr حِزب البحر atau Hizib Bahar merupakan antara hizib yang termasyhur seperti Hizib Nanawi, Ratib Al Haddad dan lain-lain. Tujuan pengamalan hizib-hizib ini ialah untuk membawa diri seseorang untuk lebih dekat dan rapat dengan Allah azza wa jalla di samping mengharapkan keredhaan Allah dalam mengamalkannya.


 Dengan hizib kita boleh memohon agar disampaikan hajat, diluaskan rezeki, keselamatan diri dan berbagai lagi manfaat kerana di dalam hizib tersebut terdapat zikir dan doa-doa.Seperti Ratib Al Haddad yang dikarang boleh Al-Imam Al-Qutub Abdullah bin Alawi Al-Haddad iaitu merupakan wali qutub pada zamannya, Hizib Bahar ini diilhamkan Allah kepada seorang lagi wali qutub pada zamannya iaitu Al-Imam Al-Qutub Abu Hassan Asy-Syazuli yang nasab keturunannya sampai kepada Sayyiduna Hasan bin Ali Bin Abu Thalib, suami Fatimah binti Muhammad bin Abdullah, Kekasih Allah.


Sejarah Hizib Bahar ini tercipta ketika mana Imam Abu Hassan Asy-Syazuli ingin menunaikan haji di Makkah. Rombongan bersiap siaga untuk kelengkapan bermusafir dan menuju haji di Makkah. Mereka menggunakan jalan laut untuk ke Makkah. Mereka menaiki sebuah kapal yang nakhodanya merupakan seorang Nasrani.Ketika di tengah-tengah laut, angin tidak bertiup seperti biasa. Ini menyukarkan perjalanan untuk sampai ke Makkah. Bukan setakat sehari, malah berhari-hari.


 Semua anak kapal menjadi gelisah. Hal ini menyebabkan pertolongan Allah datang kepada mereka melalui mimpi Al-Imam Abu Hasan Asy-Syazuli yang bertemu dengan Rasulullah dan Baginda dalam mimpi tersebut mengajarkan Al-Imam Abu Hasan Asy-Syazuli akan hizib ini.Selepas sedar dari lelapnya, Al-Imam Abu Hasan Asy-Syazuli terus membaca hizib ini. Dan dengan berkat bacaan hizib tersebut maka pertolongan Allah pun tiba di mana angin mula bertiup kembali. Malah angin tersebut membuatkan perjalanan semakin singkat. Disebabkan kejadian ini, nakhoda kapal yang beragama Nasrani itu memeluk agama Islam.


Doa dan zikir ini kemudian diabadikan oleh Al-Imam Abu Hasan Asy-Syazuli dan diajarkan kepada anak-anak murid dan kemudian diberi nama Hizbul Bahr iaitu Doa atau Senjata Laut. Wasiat Al-Imam Abu Hasan Asy-Syazuli,"Suruhlah anak-anak kalian menghafal hizib ini kerana di dalamnya terdapat nama Allah Yang Maha Agung"


.Dalam bidang rawatan spiritual, Hizib Bahar juga boleh dibaca kepada pesakit yang kerasukan, boleh dibaca untuk membuat air penawar dan berbagai lagi faedah yang hanya diketahui oleh pengamalnya.

LikeTweet

Tiada ulasan:

Catat Ulasan